Tuesday, 9 October 2018

ABOUT MAMU BISKUT TAMBUN






BISKUT TAMBUN amat sinonim dengan negeri Pulau Pinang. Namun, adalah amat sukar untuk mendapatkan produk 100 peratus keluaran Bumiputera.
Hakikat tersebut disedari apabila bekas majikan penulis dari Kuala Lumpur menujukan soalan bagi mendapatkan produk berkaitan bersempena lawatan beliau ke Pulau Mutiara baru-baru ini.
“Errr, macam tiada, takpe biar saya google,” jawab penulis ringkas.
Dengan bantuan seorang rakan, kami ternampak produk berjenama Aisybina. Apabila meneliti reviews di laman sosial para pembeli, semua amat berpuas hati dengan rasa produk berkenaan.
Walaupun tidak memiliki premis sendiri, Kuih Tambun Aisybina boleh diperoleh di Pasar Awam Chowrasta, premis Jeruk Pak Ali dan kedai-kedai runcit sekitar George Town.
Bagi mengenali pengasas serta menyelami proses pengeluaran kuih tersebut, Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara telah mengadakan kunjungan ke premis yang juga ‘kilang’ pembuatannya di No. 46, Jalan Kedah, George Town.





ROZANA Yacob atau Kak Ros.
ROZANA Yacob atau Kak Ros.

Agak sukar untuk kami menemui premis tersebut yang terletak di deretan rumah kedai yang panjang.
Disambut oleh pemiliknya, Rozana Yacob, 44. Mesra dan agak pemalu orangnya. Namun, menerusi perkongsian pengalamannya, tidak dinafikan bahawa beliau mempunyai semangat kental apabila sanggup menggadaikan semua barangan kemasnya semata-mata untuk memajukan perniagaan yang diceburi sejak tahun 2007.
Kata Rozana, kegagalannya untuk memperoleh sebarang pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan menyebabkan beliau tiada pilihan lain selain menggunakan modal sendiri dan menjual serta menggadai semua barangan kemas miliknya.
Pada peringkat permulaan, memang rasa nak give up. Nak buat pinjaman tak dapat, malah tiada pihak pun yang layan kami.
Nasib baik ada barang kemas. Memang rasa sayang, tapi bila saya ingatkan bahawa bila mati pun semua kena ‘tinggal’, jadi macam terubat balik.
Saya sembahyang minta doa, masuk tahun ni macam boleh ‘bernafas’ sikit, Alhamdulillah,” jelasnya yang merancang untuk mempelbagaikan lagi produk keluaran beliau.





ROTI benggali juga merupakan salah satu produk utama.
ROTI benggali juga merupakan salah satu produk utama.

Mengulas lanjut, Biskut Tambun Aisybina adalah olahan daripada resipi asal rakan berbangsa Cina dikenali suaminya, Iqbal Haider, 49.
Suami memang sudah mempunyai pengalaman berbelas tahun dalam pembuatan biskut tambun. Dia memang expert.
Justeru, kami olah balik (resepi) menggunakan 100 peratus bahan-bahan halal bagi memenuhi pasaran serta pemintaan Muslim tempatan,” katanya.
Rozana memberitahu, pada tahun 2007 (kali pertama mencuba), sebanyak 5 kilogram (kg) kacang hijau digunakan.
Masa tu, kami guna blender rumah, bila dah siap, kami bagi kedai-kedai dan kawan-kawan cuba. Majoriti kataokay dan sedap.
Namun, agak mencabar untuk menjual produk ini. Malah, penjualannya ketika itu memang tidak dapat menampung jumlah modal dan perbelanjaan.
Saya duduk berfikir, memang tidak boleh hanya tumpu satu produk sahaja, maka, saya minta suami pergi belajar membuat roti benggali sebagai produk sampingan, hasilnya, sekurang-kurangnya pulangan yang diperoleh dapat digunakan untuk membayar duit kedai,” ujar beliau.
Berasaskan prinsip ‘buat kerja jangan hangat-hangat taik ayam’, antara produk yang dihasilkan atas nama Aisybina adalah seperti roti berinti kacang merah, berinti kaya, sweet roll serta lain-lain mengikut permintaan dan tempahan semasa.
Malah, biskut tambun yang dihasilkan kini telah mencecah 30 hingga 40kg dalam tempoh seminggu.
Ketika ditanya mengenai proses pembuatan kuih tambun, Rozana menyatakan bahawa ia adalah amat cerewet.
Buat kuih tambun terbahagi kepada dua peringkat. Satu hari buat inti dan keesokannya baru buat kulit dan membentuk ia.
Bahan-bahan inti perlu dicuci bersih. Kulit biskut tambun pula terbahagi kepada dua atau tiga lapis. Bagi membentuk bentuk ‘bulatnya’, ia perlu dibuat sebiji demi sebiji menggunakan acuan khas,” jelasnya yang dikurniakan lima cahaya mata.
Ketika ditanya mengenai nama Aisybina, Rozana menjelaskan bahawa ‘Aisy’ diambil daripada perkataan Arab bermaksud mewah dan kaya-raya.
Nak letak ‘Aisy’ sahaja macam pendek sangat. Pada masa itu, terkenang arwah bapa yang sebelum ini terlibat dalam bidang binaan.
Maka, saya fikir, ‘bina’ maksudnya sentiasa berkembang… maka, terbentuklah nama ‘Aisybina’,” ujarnya.





JENIS roti-roti yang dipasarkan dan ditempah dari semasa ke semasa.
JENIS roti-roti yang dipasarkan dan ditempah dari semasa ke semasa.

Bagi perancangan masa depan, Rozana yang juga terlibat dalam bidang katering ingin memahiri teknik-teknik pembuatan kek, sos dan lain-lain produk bagi dipasarkan menggunakan nama Aisybina.
Saya bercita-cita membuat sebanyak mana produk Islam.
Apa yang saya minta adalah doakan saya untuk mendapat sebuah kedai bagi membolehkan saya memasarkan produk-produk saya.
Saya juga mengalu-alukan sebaran maklum balas berkaitan produk saya dan pada aspek sumbangan, saya terserah kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya sambil memberi jaminan bahawa Biskut Tambun Aisybina keluaran beliau adalah lembut, halal dan ‘segar’.

CREDIT TO : YAP LEE YING
PICTURES : DARWINA MOHD. DAUD

No comments:

Post a Comment

ABOUT MAMU BISKUT TAMBUN